KUALA LUMPUR: Following is the full text (in Bahasa Malaysia) of the speech by Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah at the State Banquet ceremony, Istana Negara on Dec 10.
Bismillahir Rahmannir Rahim,
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin,
Wabihi Nasta’in
Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
1. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana di atas keizinan dan kehendak-Nya jua, dapatlah Beta dan Raja Permaisuri Agong berangkat ke Majlis Jamuan Negara Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Beta Sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-XIV.
2. Beta ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas ucapan Taat Setia oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Mamanda Perdana Menteri, yang mewakili pihak Kerajaan, Anggota Pasukan Keselamatan, Penjawat-penjawat Awam dan rakyat Malaysia sekalian.
Hadirin dan Hadirat Sekalian,
3. Sesungguhnya, Beta berasa amat terharu dengan segala yang telah diungkapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib sebentar tadi, dalam menzahirkan penghargaan yang penuh bermakna terhadap Beta, terutama sepanjang tempoh pemerintahan beta bagi penggal kedua, sejak 2011 sehinggalah 2016 ini.
4. Beta berasa sukacita, apabila Mamanda Perdana Menteri yang mewakili Kerajaan dan rakyat jelata, terus menjunjung Institusi Raja-Raja Melayu, dalam sistem Raja Berperlembagaan di sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen ini.
5. Pastinya jua, sebagai simbol kesatuan, penstabil dan perlambangan Melayu Islam yang kita yakini.
6. Sehubungan itu, tentu sekali, Beta berasa bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kurnia dan rahmatNya yang mengizinkan Beta menaiki takhta sebanyak dua kali sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
7. Terlebih lagi dengan rasa tahmid Beta zahirkan kepada Allah subhanahuwataala kerana, pemerintahan bagi kali kedua ini, dengan sempurnanya, dapat Beta laksanakan sampai ke penghujung.
Hadirin dan Hadirat Sekalian,
8. Sesungguhnya, dalam pengalaman dan pengamatan Beta di dua era pentadbiran semasa Allahyarham Tun Razak dan kini YAB Dato’ Sri Mohd Najib ada beberapa kesamaan yang jelas dapat Beta perhatikan.
9. Antaranya, Allahyarham Tun Razak adalah seorang yang lemah lembut, bersopan santun, berdisiplin, tidak banyak berbicara, namun sangat gigih bekerja untuk membangunkan negara yang ketika itu masih bertatih dan menapak untuk menuju kemajuan.
10. Apatah lagi, pada masa itu, untung nasib orang-orang Melayu dan Bumiputera masih berada dalam keadaan tidak teratur dan terumbang ambing. Justeru, menuntut kepada kepimpinan Allahyarham Tun Razak yang cekap dan berwibawa.
11. Makanya, seperti yang dimaklumi oleh ramai, berkat ikhtiar dan perencanaan yang begitu bersifat jangka panjang, tertubuhlah pelbagai agensi serta Institusi Bumiputera seperti MARA, FELCRA, UDA, RISDA, PERNAS dan Bank Bumiputera serta yang paling berjaya hingga dikagumi oleh dunia luar adalah FELDA, yang menjadi contoh usaha penerokaan dan pembangunan tanah, yang tidak pernah lagi ada seumpamanya di dunia ini, dalam meningkatkan ekonomi orang-orang Melayu.
12. Alhamdulillah, tampaknya penerajuan FELDA kekal diteruskan oleh Anakandanya, YAB Dato’ Sri Mohd Najib.
13. Tidak dapat dilupakan, dalam perjalanan sejarah Malaysia, pada zaman Tun Razak telah berlaku krisis antara kaum, yang dinyalakan apinya oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab, sehingga membawa kepada kemuncaknya Tragedi Hitam 13 Mei 1969.
14. Namun, ia telah berjaya ditangani dengan baik dan lancar sehinggalah negara keseluruhannya kembali berada dalam keadaan selamat dan aman.
Hadirin dan Hadirat Sekalian,
15. Ternyata, sejak kali pertama Beta menaiki takhta sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, semasa zaman pentadbiran Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri, melalui Dasar Ekonomi Baru yang digagaskan oleh beliau, dalam meningkatkan sosio ekonomi Orang Melayu dan Bumiputera serta mengimbangi jurang antara kaum, yang menjangkau lebih 30 tahun telah secara keseluruhan, mencapai objektifnya.
16. Kini, Dasar yang bermakna tersebut berkesinambung wawasan demi wawasan, sehingga ke era pentadbiran Mamanda Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Hadirin Dan Hadirat Sekalian,
17. Sebagai seorang Raja yang diberi peluang usia dan pengalaman, yang begitu lama, sejak sebelum negara meraih kemerdekaan sehinggalah kini, pada hemah Beta, ada satu perkara yang amat berharga kepada negara ini dan tidak boleh dijual beli yakni Perpaduan.
18. Dalam perkara ini, Beta benar-benar berharap dan berdoa agar semua pihak sedar akan kepentingan untuk memelihara kesatuan dan perpaduan sesama kita, kerana jika yang genting menjadi belah dan retak menjadi putus, segalanya yang terbina selama 60 tahun ini, akan hancur binasa dan tidak ada ertinya lagi.
19. Berkait perkara ini, Beta turut bersukacita dengan pelan jangka panjang bagi generasi pewaris masa hadapan negara melalui visi Transformasi Nasional atau TN50. Hal ini amat besar ertinya kepada hari muka Tanahair kita.
20. Justeru, akhir titah, Beta ingin melahirkan rasa terima kasih, tahniah dan ucapan syabas setingginya kepada Kerajaan Beta, yang dipimpin oleh YAB Mamanda Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib, atas segala sokongan dan dorongan yang dirafakkan kepada Beta selaku Ketua Negara, semasa penggal pemerintahan ini, dalam usaha mensejahterakan rakyat dan memakmurkan ekonomi Malaysia, menuju negara maju berpendapatan tinggi.
21. Akhir kalam, Beta dan Raja Permaisuri Agong mengangkat berdoa ke hadrat Allah SWT, agar Kerajaan ini dan rakyat jelata akan kekal dilimpahi nikmat keamanan, makmur dan sentosa, dalam satu ikatan yang padu untuk selama-lamanya, demi Malaysia yang tercinta.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.